
Tidak dinafikan manusia semakin sibuk berbanding manusia terdahulu diera 40 ke 50an.Pergi kerja sejurus subuh dan pulang kerumah selepas maghrib menjadi satu lumrah kini,hatta menjadi satu kepelikan pula jika terdapat warga kota yang mempunyai rutin ”perjalanan kerja” berbeza dengan yang disebutkan tadi.
Kesibukan mencari nafkah menyebabkan perhatian orang tua terhadap anak –anak semakin terbatas,apatah lagi anak-anak pula dibebani dengan pendidikan yang berteraskan keputusan peperiksaan (exam oriented)..Kurangnya ruang untuk berkomunikasi antara anak-anak dan kesibukan kerja menyebabkan ibubapa ini menghantar anak-anak mereka ke pusat agama atau seseorang ugamawan untuk mengaji Al-Quran dan ilmu-ilmu agama...
”Penyerahan” secara total ibubapa kepada guru-guru agama adalah berdasarkan bahawa kebanyakan mereka mempunyai tahap ilmu yang ”sedang-sedang” dan ustaz dan ustazah adalah individu yang selayaknya mengajarkan ilmu agama ini kepada anak-anak mereka.
Terlampau ramainya bilangan ibubapa yang ”sedang-sedang”ini berbanding tenaga pengajar ilmu agama yang terhad menyebabkan segelintir ibubapa mengambil keputusan membiarkan sahaja anak-anak ini dengan hanya mendapatkan pengajian asas ketika mengikuti pelajaran agama di sekolah.
Secara umum statistik mendapati kesibukan yang dinyatakan oleh ibubapa ini adalah tidak berasas sama sekali.Jika ibubapa masih mempunyai masa yang diluangkan untuk menonton siri kegemaran di saluran Astro (sebagai contoh),masakan pula mengajar anak-anak dengan durasi pengajian agama cuma 15-30 minit dikatakan tidak mempunyai waktu @ kesempatan..
Wang ibubapa yang ditukarganti sebagai pampasan untuk mendapatkan ilmu (untuk anak) dari para pengajar tidak dapat membeli penghormatan seorang anak kepada ayah dan ibunya.Kurangnya ilmu dikalangan ibubapa ataupun ibubapa yang tidak berusaha kearah mempertingkatkan ilmu untuk diri sendiri akan sukar untuk mengesan kesilapan anak-anak dan adalah lebih sedih apabila ibubapa tidak mampu membantah perlakuan silap anak-anak kerana kekurangan hujah.
Walau bagaimanapun tahap ilmu ibubapa,berusahalah (memperbaiki diri dan memberi pendidikan agama kepada anak-anak ) ,dan contohilah sepertimana ketam yang berusaha mengajar anaknya berjalan betul. Melepaskan tanggungjawab pada guru-guru agama tidak sesekali memadamkan tanggungjawab azali yang sedia terpikul dibahu ibubapa. Sesungguhnya anak-anak itu adalah amanah dan ibubapa akan dipertanggungjawabkan terhadap amanah yang telah diberikan dan PASTI tidak akan terlepas hatta sekecil-kecil perkara.



















