
Kubelek-belek mukaku ini didepan cermin sewaktu hendak membersihkan diri tadi. Jelas kelihatan beberapa helai rambut putih mula muncul dijanggut ku yang sejemput dan tidak seberapa lebat ni.
Telah lengkap sudah 2 peringkat malaikat menziarah ku. Kali pertama tanda kehadirannya bila aku merasa sakit pinggang dan keduanya ketika munculnya uban-uban ditubuhku ini...Menunggu saat pula kali ketiga ziarahnya, ziarah yang membawa semua roh umat adam bersama-sama pergi mengiringinya ke langit untuk berjumpa Maha Pencipta.- saat kematian.
Mengambil pepatah orang melayu dahulukala bahawa tidak semua buah itu gugur ketika sudah tua.Ada yang gugur ketika masih berputik lagi ,hatta masih muda dan belum ranum lagi...Itulah hakikat kehidupan dan ajal tidak mengenal usia.Sesungguhnya tiada khilaf dalam kesempurnaan Izrail menjalankan tugasnya, tiada ralat walau sesaat.
Bersama uban-uban ini hadir sekali peserta lain mengikut pakej yang dijangkakan.Tubuh mula merasakan sedikit ketidakselesaan dan kejanggalan. Mungkin terdapat ketidakseimbangan dalam sistem didalam tubuh, menandakan tubuh tidak lagi cergas seperti dahulu...terdapat penyakit-penyakit yang mula mendaftar untuk memunculkan watak dan fungsinya...
Ku singkap kembali tempoh saat mula menjadi dewasa sehingga munculnya uban ini,dan ku bandingkan dengan apa yang telah ku lakukan didalam tempoh tersebut. Jika neraca itu dijadikan aparatus dalam menilai laba dan bala , maka ternyatalah bala itu melampaui beratnya sehingga mencecah ke garis ufuk pangkal tiang neraca tersebut.
Penyucian sebelum masuk ke syurga adalah dengan pendekatan dihumban dahulu ke neraka. Itu adalah bait-bait kta Muhammad bin Abdullah seribu tahun lebih yang lampau. Penyucian yang digunapakai untuk umat ugama wahyu yang terakhir diturunkan..Umat yang mendeklarasikan Allah itu esa dan Muhammad adalah pesuruhNya.
Dan penyucian itu bukanlah seperti pergi mandinya manusia ke lokasi-lokasi air bertakung mahupun air mengalir. Sebaliknya media penyucian adalah api hitam yang dibakar beribu tahun...mungkin pekatnya seperti larva yang membuak mengalir ...aduh! pedihnya!...
Hancur lebur tanpa sedikitpun nukleus tubuh manusia yang tertinggal jika manusia dicampakkan kedalam larva sebegitu.
Sesungguhnya Rahmat dan pengampunanNya serta syafat dari nabiNya sahajalah yang menjadi penyelamat bagi kita, bakal si perenang-perenang dan penyelam-penyelam skuba lautan berlarva ini...

