Thursday, September 13, 2012

RESTORAN MAKANAN SEGERA- FRANCAIS TERBARU DI MALAYSIA?


Berderai airmata melihat telatah mereka. Anak-anak cilik itu berjalan kearah para insan dewasa, lalu mendepangkan tangan-tangan mereka dan kemudian memeluk seerat-eratnya para dewasa tersebut, bagaikan tidak mahu berpisah..Aku mengerti perasaan anak kecil itu. Tiada kasih sayang dan pelukan dari ibu dan ayah, maka anak-anak cilik ini hanya mengharapkan insan-insan yang sudi berkongsi kasih dengan mereka.

Jawapan yang kuterima dari warden rumah anak yatim , perlakuan itu adalah lumrah bagi anak-anak cilik yang mendiami rumah anak yatim tersebut. Apa yang mereka
fikirkan adalah, setiap insan dewasa yang datang menjenguk, maka insan dewasa itu itulah ayahibu mereka..Walhal itu adalah impian yang tidak sekali-kali menjadi kenyataan.

Hiba dan pilu mendengarkan kenyataan tersebut. Kulihat perkarangan rumah anak-anak yatim tersebut, kemas tersusun namun lusuh, daif dan uzur dari segi kemudahan dan persekitaran..Jawapan yang menghibakan dari penyelia asrama adalah anak-anak ini sering dicatu makanan mereka, berikutan bekalan makanan yang sering terputus.
Kemewahan hanya dirasakan anak-anak yatim pada musim-musim perayaan. Mewah dengan pelbagai jamuan makanan dan hadiah, bagaimanapun semuanya sepi selepas musim perayaan. Tidak ramai yang datang menjenguk termasuk bantuan yang sayup-sayup sesekali menjengah.

Tertunduk kepala ketanah mendengar penjelasan tersebut, sambil manik-manik jernih tumpah dari kelopak mata. Sial betul aku! Dirumah, kaya keluargaku dengan makanan.
Kerapkali ke restoran makanan segera menjamu tekak mengikut citrasa barat,
sedangkan anak-anak yatim seperti ini seringkali kelaparan. Siaran tv berbayar sanggup dilanggan, bukan sekadar menu yang asas, malah siap dengan saluran sukan dan movie yang mahal yuran bulanannya. Cukup berkira untuk menginfak sedikit pendapatan,hatta hanya sebeberapa ringgit sahaja sebulan, niat ”murni”itu sanggup ditangguhkan sehingga munculnya ramadhan yang akan datang kelak.

Betul seperti kata-kata seorang yang bijak pandai : ”..ramadhan itu adalah pesta bulan beribadah. Selepas habisnya ramadhan maka habislah segala ibadah tersebut, sempena tamatnya bulan "pesta" tersebut...”

Sesunguhnya ”pesta” pada bulan ibadah itu masih belum berjaya aku lanjutkan untuk ke
bulan-bulan keseterunya, sebagaimana seringkali gagalnya aku menekan butang-butang keyboard ini untuk aturcara mayban2u dan CIMB Click”-untuk memindahkan sedikit
sumbangan ”on-line” ku,setiap bulan, kerumah-rumah anak yatim sebegini.

No comments:

Post a Comment