Wednesday, August 1, 2012
Ekspedisi (XPDC)- Peluang percuma untuk mereka yang meminati
Terperangkap didalam lif selama 45 minit pada malam tempohari, memberikan satu ekspedisi ilmu yang tidak ternilai pada diri ini. Suasana pekat gelap gelita, cuma kedengaran sayup-sayup suara kanak-kanak bermain dan beberapa suara kecoh mengkhabarkan lift di apartment ini mengalami kerosakan.
Tanpa bekalan elektrik, suhu didalam lift tersebut seumpama sauna yang mula hendak memberikan kehangatan kepada pengunjungnya. Berpeluh, kaget dan panik menyeliputi diri ini. Adakah ini gambaran betapa gelapnya jika aku diletakkan didalam liang lahad kelak?. Bezanya cuma , aku masih boleh berlutut didalam lift dan berlunjur seketika untuk mententeramkan perasaan, berbanding dengan liang lahad kelak , dimana dinding lahad itu berada hanya seberapa jari dari muka ini, dan tubuh terkujur lurus tanpa dapat bergerak kekiri dan kanan, untuk mendapat posisi pembaringan yang selesa.
Sayup bunyi derupan tapak kaki kanak-kanak yang berlari dibahagian luar lift seolah –olah gambaran itulah bunyi yang bakal kudengar, ketika pengunjung mula meninggalkan aku bersendirian didalam pusara kelak , sementara menunggu cukup 7 langkah, sebelum datangnya sepasang saudara si penyoal kubur.... Pergh!!...pucat lesi diri ni mengingatkan saat-saat tersebut, apatah lagi dengan berbekalkan pahala yang tidak seberapa dan dosa yang melaut banyaknya...Jika didunia, kegelapan dan suhu berbahang sebegini dapat dielakkan dengan mencari punca-punca cahaya dan ruang-ruang terbuka , tetapi didalam lahad nanti pada siapa perlu aku meminta pertolongan? Sementelah ruang pembaringan hanya sekadar cukup untuk memuatkan tubuh ini..
Berpeluangnya aku keluar dari lift ini disertakan dengan rasa kesyukuran yang amat sangat. Baju yang lencun basah dek bahang dan ketakutan tadi sama sekali tidak aku rasakan , apabila melihat cahaya , sebaik pintu lift tersebut dibuka.. Alhamdulillah, aku bebas kini dari perangkap kegelapan , kesunyian dan ketidakselesaan ini, pada kali ini. Namun pasti suatu hari nanti aku (dan mereka semua) akan berjumpa semula dengan ”kegelapan” itu, tanpa dapat lagi untuk melarikan diri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment