Tuesday, July 31, 2012

KEK (CHOCOLATE CHEESE MOUSSE) –Varieti produk lazat untuk hari raya dan hari jadi


Sekilas pandang grafiti ditembok konkrit sungai Klang menyerlahkan kreativiti penciptanya. Tulisan berawang-larat api mencerminkan luahan rasa aggresif dan amarah, namun tona warna yang kontras amat menarik, menyerlahkan daya penciptaan diluar kebiasaan. Kepuasan mengatasi segalanya, maka tidak kisahlah dengan wang yang dilaburkan (oleh pereka grafiti ini) untuk membeli cat semburan yang bertin-tin bilangannya.

Kepuasan dan kreativiti itu adalah elemen-elemen penting untuk berkarya..Tanpa kepuasan pasti sesuatu kerja yang dilaksanakan adalah sembrono dan ala kadar sahaja, manakala kreativiti itu dicipta (oleh Maha Pencipta) dan dihadiahkan kepada semua makhluk tanpa seorangpun mempunyai pengecualian. Hanya bergantung kepada makhluk itu sahaja samada tahu menilai dan berusaha bagaimana untuk mengilapkan kreativiti itu, atau membiarkan dan menenggelamkannya begitu sahaja kreativiti yang ada padanya.

Media berkarya adalah bergantung kepada minat makhluk itu sendiri. Muzik, lukisan, arca, penulisan, persembahan, masakan dan produk seni adalah contoh-contoh terkenal di mana kreativiti itu diluahkan. Pada mereka yang pandai mencari peluang, karya –karya ini akan memberikan keuntungan dan menjadi punca pendapatan dalam mengarungi kehidupan didalam dunia lara lagi materialistik ini.

Melihat satu karya yang dihasilkan oleh segolongan ”pemikir” baru-baru ini membuatkan aku termenug sejenak. Kebiasaanya, untuk arca-arca yang dicipta (oleh pereka seni) memang bertujuan mewujudkan persoalan kepada mereka yang melihatnya , samada atas dasar apa arca dicipta dan apa mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh pencipta tersebut Namun karya yang berteraskan masakan tetapi diolah melalui perspektif baru yang mutlaknya diluar dari kebiasan ini hanya memberikan persoalan, siapakah penciptanya dan bagaimana peribadi dan akhlaknya. Apatah lagi ”kek najis” tersebut diciptakan untuk dihadiahkan.

Tertutup sudah ruang perbincangan dan tiada lagi ruang untuk berlapang dada , sehinggakan ”kek najis” menjadi kesimpulan kepada apa yang ingin diperbincangkan. Dan ternyata program ”transformasi negara” yang diwar-warkan itu memang telah berkesan, dalam memberikan budaya baru kepada personaliti-personaliti sebegini.

Monday, July 30, 2012

KASUT BERJENAMA DAN MURAH –Potongan sehingga 30%


Wanita itu dijadikan oleh si Pemilik alam ini, sebagai suatu objek yang amat hebat. Dari hujung rambut sehinggakan kehujung kaki kuku, setiap komponen tubuh wanita mempunyai nilai sentimental dan daya tarikan yang tersendiri Setiap komponen tubuh wanita ini mempunyai frekuensi daya tarikan tertentu, dan mampu mengaktifkan hormon-hormon testosteron lelaki. Refleksi testosteron yang teransang, hasil dari visual atau sentuhan fizikal (anggota wanita yang bukan muhrim) ini akhirnya menerbitkan zina yang dipersetujui atau perkosaan untuk perspektif ketidakrelaan.

Sebahagian etnik di negara Tiongkok lampau membendung tumbesaran kaki kaum wanitanya agar dilihat runcing dan kecil. Kaki yang sebegini melambangkan taraf wanita tersebut yang mempunyai kedudukan yang tinggi, terhormat lagi anggun. Maka sudah tentulah tinggi melambung mahar perkahwinannya dek kerana “darjat”nya, sebagaimana mahalnya mahar wanita-wanita melayu kini kerana mempunyai ijazah dan diploma.

Kaki adalah sesuatu anggota yang amat unik lagi hebat. Seharusnya kecantikan (kaki) itu perlu ditonjolkan. Maka lahirlah ukiran ukiran seni berasaskan inai, yang dipelopori oleh bangsa di negara nabi Adam diturunkan (dari syurga). Juga pewarna kuku yang dicipta untuk mewujudkan point fokal kecantikan Manakala sepatu dicipta berperanan untuk menaikkan kecantikan kaki pada kaki wanita, dan mewujudkkan sifat kelakian pada pria yang memakainya. Kecantikan menjadi dominan mengatasi peranan utama sepatu dicipta - untuk menjamin keselamatan kaki pemakainya.

Dan bagi umat Muhammad s.a.w, setiap tapak ke masjid yang dilakukan oleh kaki yang ”cantik” itu pasti mempunyai ganjarannya,sebagai token dalam membantunya menjawab soalan-soalan lisan di mahkamah (bagi semua mahkhluk) kelak . Dan kaki tersebut juga akan ditanya, perihal kekerapan kunjungan ke majlis ilmu dan masjid yang dilakukan semasa didunia terdahulu. Sebenarnya, kaki itu adalah sebahagian daripada ”toolkit”-”toolkit” yang sangat effektif untuk mendapatkan keuntungan, dari perniagaan yang paling mengguntungkan, iaitu ”Perniagaan” dengan Penguasa alam ini- bagi mereka-mereka yang mengetahui, tunduk dan mencari rahmatNya.

Thursday, July 26, 2012

TULISAN - punca JOSE RIZAL dibunuh?


Membaca kolumn Mysinchew (www.mysinchew) milik bangsa tionghua amat berbeza dengan membaca akhbar bangsa melayu bernama Utusan Malaysia mahupun Berita Harian. Walaupun kedua-duanya-duanya dimiliki oleh mereka yang menyokong pemerintah yang mewarisi ideologi penjarah british ,namun keterbukaan bangsa tionghua dilihat adalah jauh berbeza dengan bangsa melayu.

Apa yang ditulis mencerminkan apa yang difikirkan , manakala kesediaan pemilik akhbar untuk mempamirkan kolumn yang ditulis menunjukkan sikap keterbukaan kepada sesuatu pendapat walaupun terdapat perbalahan. Tujuan adalah satu, iaitu kebersediaan untuk melakukan perubahan walaupun tidak selari dengan apa yang diinginkan. Ini berbeza dengan apa yang dituliskan oleh kolumnis melayu didalam akhbar melayu diatas. Kaya dan melimpah ruah dengan pujian, sehinggakan dilihat begitu sempurnanya pemerintah melayu sehinggakan tiada lansung terbit sebarang kecacatan.

Kritikan adalah penting untuk memperbaiki kekurangan dan untuk tidak mengulangi kesilapan. Sepertimana kata-kata Harun Al Rasyid bahawa fikiran yang bernas itu dapat dijana dari perbincangan , dan fikiran itu mati jika tiada kritikan (tiada perbincangan). Maka pasti tidak wujud kritikan jika apa yang ditulis semata ampu dan sokongan yang membawa rebah.

Sepertimana yang ditulis oleh kolumnis Lim Sue Goan didalam akhbar maya Sinchew : ”keterbukaan akan menerbitkan semangat pertandingan yang sihat ,sementara profesionalism pula akan menambahbaikkan keupayaan dalam membuat keputusan”, mengiisyaratkan bahawa individu atau bangsa yang cemerlang ,mempunyai jati diri yang tinggi dan berwawasan , boleh dilahirkan jika individu atau bangsa itu mempunyai sifat keterbukaan lagi berilmu

Dan individu atau bangsa melayu itu boleh dilahirkan untuk dijadikan sebegitu (berilmu dan professional) jika mereka bersifat terbuka dalam menerima pendapat dan kritikan dari ”Hang Nadim” ( hang Nadim adalah kanak-kanak yang mengesyorkan penggunaan batang pisang ketika Temasik dilanggar todak dahulu), dan bukannya menghukum bunuh ”kanak-kanak” tersebut, sepertimana yang telah dilakukan oleh pembesar Temasik tersebut , suatu ketika dahulu.

Tuesday, July 24, 2012

RAMADHAN- JALAN-JALAN CARI MAKAN

Sebulan yang lepas, satu potrait anak kecil yang mengemis dan mengutip makanan diatas jalan ( untuk dimakan) ku bingkaikan dan kupamirkan didinding ruang makan. Tujuan hanyalahah satu, untuk berkongsi perasaan dan fikiran bersama ahli keluarga terhadap apa yang dialami dan dirasakan oleh pengemis kecil sewaktu gambarnya dirakamkan.

Pendekatan (menggunakan potrrait/gambar dan kemudiannya dipamirkan untuk tatapan) yang sama aku gunakan, untuk mengikis dan menamatkan ketagihan merokokku 15 tahun yang lampau. Dikala itu aku adalah perokok tegar,dan 2 insan yang dikitiraf boleh ”menggoncang dunia” (isteri dan ibu) pun tidak mampu mengusik sedikitpun pergantunganku kepada rokok. Hingga ketagihan itu mula dan akhirnya lenyap setelah aku bermuhasabah terhadap bingkai x-ray dadaku, yang kupamirkan didinding ruang tamu.

Diwaktu pesta makan yang berlansung selama sebulan sepanjang ramadhan ini, aku sedari akan maklumbalas keluargaku terhadap persiapan berbuka puasa. Tiada kedengaran permintaan untuk membeli juadah-juadah tertentu dan seisi berbuka pula berlansung dengan tertib. Tiada suasana bising kerana anak-anak berebut juadah yang mereka inginkan, sepertimana tahun-tahun terdahulu. Juadah yang disediakan adalah sederhana sahaja dan selalu kehabisan sebelum perut mencapai tahap kenyang yang diinginkan ,dan yang manisnya adalah kerana tiada kedengaran rungutan kerana terpaksa berhenti makan (kerana makanan telah kehabisan ). Tiada topik juadah dibincangkan sepanjang seisi berbuka puasa berlansung. Perbualan lebih menjurus kepada persiapan untuk beribadah dan cerita terhadap kelebihan bulan ramadhan.

Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, namun aku sedari impak dari foto tersebut meninggalkan kesan yang mendalam kepada ahli keluargaku. Dimasa yang sama aku bersyukur kerana ”syarahan” dan tarbiah yang tidak berapa terkesan pada tahun –tahun terdahulu (terhadap betapa terpesongnya budaya orang melayu dalam menyambut ramadhan) berjaya dilaksanakan oleh sekeping potrait yang kupamirkan didinding tersebut.

Dan sesungguhnya Dia maha bijaksana ,dengan mengilhamkan aku untuk menjadikan potrait sebagai medium penyampaian. Memang benar pepatah cina mengatakan bahawa sekeping gambar itu boleh menceritakan beribu-ribu patah perkataan, dan mesej yang disampaikan oleh suara dari potrait itu mampu menetenteramkan selera yang bergelojak, terbit dari perut yang menahan lapar sepanjang hari.

Ramadhan adalah bulan pesta ibadah dan sesungguhnya bangsa melayu telah amat-amat berjaya mentranformasikannya menjadikan bulan pesta juadah. Dari kajian mendapati , setiap empayar-empayar agung islam yang pernah wujud dimuka bumi ini suatu ketika dulu mengalami zaman kejatuhannya dan pupus selama-lamanya , berpunca dari dua sebab yang dipandang remeh, iaitu pemerintah yang bermewah-mewahan dan rakyat yang sentiasa kekenyangan.

Sesungguhnya terdapat pelbagai sebab dan kebaikan , sehinggakan mengapa Rasullullah itu berdoa agar beliau sentiasa ditempatkan dikalangan orang-orang miskin.

Thursday, July 19, 2012

MALU


Jam didinding menunjukkan pukul 5.40pagi. Disatu sudut kelihatan 2 beranak sedang berbisik-bisik berbicara, yang menarik perhatian aku ,sehingga aku menoleh dan minat untuk tumpang mendengar tentang apa yang diperbualkan.

Siayah menceritakan kepada sianak, yang berusia lebih kurang 12 tahun, kurasakan, berdasarkan susuk badan anak tersebut, tentang perjalanan mereka ke rumah nenek sianak tersebut. Persoalan siayah, sekiranya terdapatlah beberapa gerai ( disepanjang jalan menuju ke kampung nenek sianak tersebut) ada menawarkan sesuatu yang amat istimewa dan percuma kepada mereka, maka adakah sianak tersebut akan berhenti, menjenguk dan kemudian mengambil hadiah percuma yang ditawarkan kepada mereka. Sianak pintas menjawab, sudah tentu dia akan mengajak ayahnya untuk berhenti dan mengambil hadiah tersebut. Apatah lagi mereka tidak perlu membuat pembayaran apa-apa , cuma sekadar singgah berhenti dan menjeguk sahaja gerai-gerai tersebut. Lalu siayah pun menerangkan kepada anaknya, bahawa itulah perumpamaan bagi mereka yang datang mengerjakan solat fardu dimasjid.

Solat fardu yang dikerjakan itu adalah terlebih istimewa jika disulamkan dengan kehadiran solat sunat menghormati masjid. Ini adalah kerana mereka telahpun berada di masjid ,dan teramatlah ruginya bagi mereka yang melepaskan peluang yang diberikan (melakukan solat sunat), walhal solat tersebut cuma mengambil sedikit masa sahaja untuk didirikan.

Teranguk-anguk kulihat kepala sianak membenarkan kata-kata siayahnya. Perlahan-lahan ia bangun dari tempat duduknya dan sayup-sayup kedengaran dia melafazkan Allah Maha Besar (mengangkat takbir), menunjukkan ia baru mula melakukan solat sunat tersebut.

Kulihat jam kembali, berbaki 5 minit sebelum masuknya waktu solat subuh. Sebak perasaan ini melihatkan sianak tersebut dan malu melihatkan diri sendiri. Diwaktu kebanyakan para dewasa sedang nyenyak tidur pada subuh sebegini, sianak kecil ini pula ikhlas dan minat mengerjakan solat , walhal belum sampai lagi kewajipan solat itu baginya.

Sepanjang perjalanan balik aku termenung memikirkan. Betapa malunya aku, bahawa selama ini aku acuh-tidak acuh dalam melaksanakan tanggungjawabku menyampaikan ilmu akhirat kepada anak-anak.

Sunday, July 8, 2012

MULTI VITAMIN- Produk untuk kelihatan lebih muda


Syaaban baru melangkah setengah perjalanan, namun pasaraya telahpun menyediakan puluhan kuih-muih segera untuk santapan pe-rai pe-rai aidilfitri kelak. Promosi besar-besaran dengan harga borong yang memukau para isteri-yang membeli dengan menggunakan alasan tidak kesempatan kerana sibuk bekerja, dan sisuami-yang malas untuk mempertikaikan alasan siisterinya.Maka tewaslah para raja selepas di “check-mate” oleh para permaisuri didalam pertandingan catur tersebut

Ramadan masih menunggu gilirannya sebelum dapat membuat persembahan, manakala syawal sedang menghitung waktu kedatangannya. Lebih kurang 45 hari lagi dari sekarang , suatu tempoh yang agak lama sebelum syawal diberi peluang untuk menemui peminat-peminat yang extreme, bernafsu dan galak untuk menyambut hari pertandingan.

Pertandingan makan sebanyak mungkin, pertandingan fesyen-fesyen terbaru dan hari untuk menjamakkan solat fardu sepanjang tahun menjadi satu solat sahaja. Aidilfitri adalah hari untuk menghidangkan kuih/manisan raya yang telah berumur antara sebulan ke dua bulan usianya..namun juadah tersebut tetap segar dan lazat,sepertimana lazatnya ikan beku yang telah lama namun tampak segar lantaran disulam dengan bahan pengawet mayat.

Bertambah benaklah fikiran si anak-anak lantaran tubuh disogokkan semaksimanya dengan makanan yang terlampau berlemak dan kaya dengan marjerin. Maka tersenyum ria lah pengusaha “ Planta” dan “Buttercup” dan sesungguhnya teramat pandailah si-ibubapa kerana memberikan makanan tambahan yang berkhasiat pada sianak sepanjang syawal tersebut.

Aidilfitri merupakan hari suprimersi untuk sekian hari lain sepanjang tahun.Semua perlu berkorban untuknya kerana penyelamat berupakan kad-kad plastik adalah “savior” dan boleh sahaja dileretkan dimana-mana, pada pertengan syawal untuk menampung poket yang berkeriut kecut kekeringan.

Melayu itu sinonim dengan budaya berseronok dan suka menderma (membazir) . Jika Lailatul Qadr itu “seusia” dengan seribu bulan, maka mungkin perlunya Aidilfitri itu diraikan sehebat seribu satu bulan, sepertimana hebatnya hikayat seribu satu malam yang popular dinegara-negara padang pasir..

Thursday, July 5, 2012

KAMBING PANGGANG – Rahsia dan khasiatnya

Jam menginjak 4.37 petang..Menunggu sekitar 5 minit lagi sebelum masuknya solat asar..Perasaan laksana menunggu teman wanita di stesen bas gamaknya, ceria dan tidak sabar menunggu, walhal yang dinantikan hanyalah solat sahaja.

Gembira bila melihat sof yang tedahulu kosong mula dibarisi dengan jemaah-jemaah. Walaupun bilangannya seumpama laut yang pasang surut, namun suatu pembaharuan jika dibandingkan terdahulu, jelas menolak jika solat berjemaah itu diusulkan untuk didirikan bersama-sama.

Kebaikan itu harus dirai bersama-sama.Tidak sempurna iman itu jika tidak mengasihani saudaranya sebagaimana ia mengasihani dirinya sendiri. Maka kebaikan itu perlu digandakan dan dikongsi bersama.Apakah nilai yang satu itu lebih baik dari jumlah yang dua puluh tujuh itu?.Dan apa yang ditinggalkan untuk sementara itu (untuk mengerjakan solat) pasti akan dilindungi malah akan dilipatgandakan lagi kemudahannya dan berkatnya-bagi mereka yang meyakini. Bukankah Tuhan itu Maha berkuasa dan Maha bijaksana?

Kita adalah terkesan melalui persekitaran kita. Perumpamaan warga-warga senior terkemaskini (up-to-date) mengatakan ”Seekor kamping putih akan tetap menjadi kelabu jika dikelilingi oleh sembilan kambing hitam”, maka berpesan-pesan kepada kebaikan itu penting supaya yang hitam itu dapat dipudarkan dan yang kelabu tidak terpengaruh dan beransur menjadi hitam.- kecuali kita memilih untuk menjadi katak yang santai dibawah bekas lutsinar (mengasingkan diri dari komuniti)...hehehe

Monday, July 2, 2012

BASIKAL FEZZY- Trend riadah terkini


Kedengaran sayup-sayup suara muazin memanggil manusia untuk mengerjakan solat subuh. Terpanggil, bingkas aku bangun dan bergegas menyahut seruan azan tersebut....”marilah menuju kejayaan” - jika diterjemahkan didalam bahasa ibunda. Satu perasaan yang sukar untuk digambarkan ketika bergerak menuju masjid, sesyahdunya ketika mendengar takbir pada subuh aidilfitri.

Kukira, kurang dari sepuluh jariku yang mengiayakan bilangan aku solat subuh berjemaah dalam sebulan. Memang payah untuk meninggalkan tilam yang empuk dan pelukan isteri yang membahang menghangatkan pagi laksana pelukan pengantin baru gayanya. Namun sesekali berpeluang berjemaah memberikan suatu perasaan dan ketenangan yang sukar untuk digambarkan.

Justeru dikatakan jika kita mengetahui fadhilatnya bersolat subuh berjemaah, nescaya datanglah merangkak kita menuju kepadaNya. Namun kukira tiada istilah ” jika kita mengetahui”, kerana kita telah acapkali diberitahu dan telahpun sedia maklum .Tepuk dada dan tanyalah dada (bukannya selera) kerana setiap dari kita mempunyai jawapan untuk diri masing-masing kelak..

Sesungguhnya tiada paksaan didalam ugama. Perasaan (ketenangan )yang timbul itu adalah rezeki yang diberikan kepada kita dariNya, kerana tidak semua dari kita memperoleh pemberian tersebut..dan semua jenis nikmat itu akan ditambah jika kita sentiasa dan tahu bersyukur.

Meninggalkan masjid terpaku aku pada suatu sudut. Disitu kebiasaannya tempat allahyarham seorang tua meletakkan basikal merah jambu terang miliknya. Basikal yang dikayuh pada hampir setiap subuh untuk datang bersolat berjemaah . Dan kini ianya tingal hanya kenangan...Suatu tahap ”kerinduan dan kepuasan” yang telah dicapai oleh seorang tua tersebut sehingga membuatkannya datang setiap subuh, walaupun zahirnya kelihatan tidak setimpal dengan kudrat tuanyanya, untuk mengayuh basikal sejauh itu....

Sunday, July 1, 2012

"DEMOKRASI TERPIMPIN"


Bapa borek anak rintik- satu frasa agung orang ”lari” (melayu didalam bahasa jawa=lari) , yang digunapakai untuk melabelkan betapa jika sibapa adalah seseorang yang hebat, maka begitulah jugalah akan si anaknya...Maka anak itu perlu dinobatkan dan dipuja sebagai seorang yang maksum dan bijaksana, dan amat layak untuk dijadikan pemimpin ,walhal iman itu tidak boleh diwarisi walau sekelumitpun dari si ayah.

Konsep pemujaan ini terus berlansung semenjak sistem kerjaaan bersultan sehinggalah kepada sistem kerajaan ”demokrasi terpimpin” dewasa kini, (Nota: kata-kata agung anak kedua saudagar Sadiq Sigaragar) Jasa yang telah ditaburkan oleh ”pemimpin yang mewarisi ini” perlu diucap terimakasih sepanjang hayat dan acapkali. Maka tiadalah peluang dan kudrat bagi rakyat jelata itu untuk memberikan sebarang teguran diatas kesilapan pemimpin, walaupun pekung dan kudisnya dapat dikesan nun jauh dari benua seberang.

Doktrin ini telah berjaya diterapkan sekian lama oleh pemimpin-pemimpin warisan ini, kerana sikap peribumi ”semenanjung emas” ini yang terlalu berterimakasih tidak bertempat.. Namun manusia itu diciptakan merdeka, merdeka untuk bersuara dan memberikan pendapat.

Konsep pemimpin warisan perlu diubah, dan setiap pekung dan kudis itu perlu dicuci sebelum ia berterusan merosakkan agama wahyu terakhir ini. Hanya proksi dan kroni si panglima Tuah sahaja yang merelakan hidung mereka ditindikkan gelang untuk ditambat bersama tali, untuk diseret oleh pemimpin warisan yang maksum ini-kerana mengharapkan kesenangan yang seketika.

Ucapan terimakasih yang ekstrim hanya layak untuk siPencipta cakrawala dan bukannya untuk para pemimpin warisan. Maka setiap individu itu perlu menjadi si Rasputin, yang mampu memberikan silibus kurang ajar kepada Tzar, yang sombong dengan status kekebalan dan ”karamah”nya